jaga pandangan

Menjadi lumrah, antara kaum adam dan hawa saling menegur. Kaum adam kini cukup prihatin dalam menjaga soat aurat. Mereka menegur wanita yang selalu memakai sendat. Mereka menegur muslimah yang bertudung tetapi mendedah dada. Ya, satu tindakan yang terpuji, namun yang tidak enaknya selang beberapa lama kemudian, mereka mula membuka leptop dan menonton koleksi video 3gp. Dan setibanya seorang wanita yang terdedah auratnya, mata mereka tidak berkelip-kelip. Mungkin mereka telah lupa, Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan.”(Surah al-Nur: 30)

Jadi, apakah bezanya kaum lelaki ini dengan muslimah yang tidak menutup aurat tadi, sedangkan mereka sendiri tidak melaksanakan perintah tuhan sewajarnya? Mereka seolah-olah mencari alasan untuk memuaskan nafsu serakah mereka sendiri disebalik kegagalan kaum muslimah tidak menutup aurat. Bagi mereka, apabila kesemua wanita di muka bumi ini menurut perintah menutup aurat dengan sempurna, barulah mereka hendak bertindak menjaga pandangan yang sepatutnya. Dan adakalanya, mereka membuat lawak disebalik peringatan yang diberi Rasulullah SAW:


"Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua" (Riwayat Ahmad, Abu Daud)

“Ala... baru sahaja pandangan pertama, rilekslah... tak berdosa pon”. Itulah kata-kata mereka dengan tersengih-sengih memerhatikan kelibat tubuh wanita yang dipandangnya. Langsung tidak mengalih pandangan mereka samaada pandangan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Ternyata selepas itu mereka dihimpit bayangan jijik yang membuak-buak di pemikiran mereka dan seterusnya terpaksa mencari blue untuk menuruti ketuhanan nafsu mereka. Inilah akibatnya apabila hukum hakam tuhan pada mulanya dibuat gurauan, akhirnya memakan diri.

Cabaran masa kini
Cuba bandingkan pemikiran anda dengan ayah-ayah, pakcik-pakcik serta datuk-datuk anda. Mereka memang jauh berbeza bagaikan langit dan bumi dengan anda. Jikalau dulu ayah anda mengenal erti seks ketika umur lewat belasan tahun, anda pula lebih advance, mungkin awal belasan tahun lagi. Tidak syak lagi, ini semua berlaku gara-gara perkembangan teknologi yang begitu pesat. Baik media cetak mahupun elektronik, kesemuanya menarik perhatian pandangan lelaki-lelaki. Lihatlah akhbar-akhbar tempatan, rancangan-rancangan TV, mahupun filem-filem wayang, segalanya dipenuhi gambar mendedah aurat. Setuju tak sekiranya dikatakan rating acara terjun dalam sukan komanwel baru-baru ini adalah paling tinggi berbanding acara-acara sukan lain? Kemudian, tatkala anda melayan aksi kuasa luar biasa yang ada pada watak-watak dalam drama bersiri Heroes, berapa banyak matakah yang tidak terkelip-kelip sangkut memerhati watak Claire Bennet? Ini tak termasuk lagi filem-filem Hollywood yang anda torrentsendiri, konon-kononnya ingin menikmati kehebatan jalan ceritanya tetapi berapa kalilah anda mengulang tayang adegan-adegan selitan yang menjijikkan? Ini semua kaedah alternatif bagi mereka yang menafikan menonton blue, tetapi cuba memenuhi hawa nafsu dengan cara tersendiri.
Inilah cabaran yang perlu ditempuh buat kaum lelaki masa kini. Lupakanlah segala hidangan-hidangan dunia yang memerangkap anda sendiri. Ingatlah, sesungguhnya perlakuan zina itu bermula dengan pandangan mata yang tidak dikawal oleh iman dan takwa. Bermula dengan melihat aurat wanita, ia membawa seseorang itu berkenalan dengan lebih rapat, menjalin hubungan dengannya, dan seterusnya berlaku perzinaan dan berakhir dengan pembuangan bayi. Berusahalah sedaya upaya melawan keinginan nafsu anda dan ketahuilah sesungguhnya melawan nafsu itu adalah seolah-olah seperti sedang berjihad. Jadi, janganlah menjadikan kaum muslimah, teknologi dan sebagainya untuk dipersalahkan dalam mengabaikan hukum menjaga pandangan. Rasulullah SAW bersabda:


 “Orang yang berjihad ialah orang yang melawan nafsunya” (HR Tirmizi)

Maka, sudah tiba masanya masing-masing memainkan peranan! Disamping kaum muslimah menjaga pemakaian mereka, kaum muslimin haruslah menjaga pandangan pula. Marilah kita sama-sama bergerak ke hadapan untuk menuju kesudahan yang baik. Tinggalkan segala kemungkaran dan jangan memenangkan pujuk-rayu dan dorongan syaitan. Sentiasalah ingat pada Allah SWT dan insyaallah hati pasti tenang, seterusnya kita tidak akan mencari sesuatu yang lebih gembira daripada ini.


tq read comment here plisz

No comments: